Together we are...

Monday, January 18, 2010

DAHI CECAH SEJADAH

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG..

Bersihkan dirimu sebelum dirimu dibersihkan. Wuduklah kamu sebelum kamu diwudukkan. Solatlah kamu sebelum kamu disolatkan. Doalah kamu sebelum kamu didoakan. Tutuplah auratmu sebelum auratmu ditutupkan dengan kain kafan yang serba putih. Selepas itu kamu akan diletakkan di atas lantai, lalu dijalankan solat jenazah ke atasmu dengan empat takbir. Fatihah, selawat, doa dan salam tanpa ruku’ dan sujud sebagai memenuhi tuntutan Fardu Kifayah. Apakah solat jenazah itu dapat membayar solatmu yang telah luput? Apakah solat tanpa ruku’ dan sujud itu dapat membayar sujudmu yang telah luput? Sungguh beruntunglah kamu oleh itu usunglah dirimu ke arah solat sebelum dirimu diusung ke liang lahat menjadi makanan cacing dan ulat. Kerana itu sucilah diri kamu sebelum kamu disucikan. Berimanlah kamu sebelum kamu ditalqinkan kerana talqin itu manfaat buat yang hidup bukan yang mati. Istigfarlah kamu sebelum kamu diistigfarkan. Ingatlah dirimu walau di mana kamu berada kamu tetap memijak bumi Tuhan. Justeru jika DIA menyeru maka sambutlah seruannya sebelum malaikat Izrail datang menyerumu. Ingatlah asal-usulmu yang hina dari setitis air mani, lalu menjadi segumpal darah, lalu menjadi seketul daging dan tulang-belulang. Ingatlah asal-usulmu yang kau bila jatuh ke tanah ayam tak patuk itik tak sudu. Sambutlah seruan HAIYA ‘ALASSOLAH dengan penuh rela dan bersedia. Sambutlah seruan HAIYA ‘ALALFALLAH untuk kejayaan dunia dan akhirat. Ingatlah pada hari itu tiada guna harta, takhta dan putera, kad kredit, rumah dan kereta jika DAHI TAK CECAH SEJADAH.


~DIPETIK DARI RADIO INSTITUT KEFAHAMAN ISLAM MALAYSIA (IKIM).

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...