Together we are...

Saturday, February 04, 2012

Menerima Takdir, Bukan Mempersoalkan.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG..
Hati mana yang tidak sedih, jiwa mana yang tidak terusik andai apa yang diharapkan tidak dapat dicapai. Orang kata jangan pernah berhenti berharap. Tapi harapan itu sangat mengecewakan andai tidak dapat dicapai. Sangat melemahkan semangat bila kekuatan demi kekuatan dikumpul tetapi sentiasa datang dan pergi hingga tak tahu bagaimana lagi harus bertahan. Bukan menyesali apa yang telah tersurat, jauh sekali menidakkan takdir Allah. Sebagai manusia biasa, kekecewaan dan kesedihan itu tidak mungkin difahami oleh mereka yang tidak mengerti. Dan air mata tidak dapat memahami perjalanan hati nurani. Bukan semua boleh merasai apa yang kita rasa, kerana perjalanan dan takdir hidup setiap insan berbeza. Nampak serupa tapi  hakikatnya tidak sama. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Harapan boleh dicipta berulang kali, tapi ada masa manusia akan berhenti berharap. Impian boleh dibina, tapi tak semua impian jadi kenyataan. Dan penting berpijak pada bumi yang nyata andai takut membina mahligai di langit biru.

Memang benar, hidup manusia milik Allah. Daripada Dia kita datang, kepada Dia kita kembali. Memang betul, Allah uji manusia kerana tanda sayangNya pada diri insan tersebut. Dugaan Allah sentiasa ada buat hambaNya kerana Dia mahu manusia merintih dan merayu padaNya. Dia rindu suara hamba-hambaNya berdoa dan memohon sesuatu hanya daripadaNya. Tetapi sering-kali manusia sendiri tewas. Rebah bila diberi cubaan. Bukan tidak mahu berjuang, tapi kadang-kadang manusia telah penat. Letih memahamkan orang di sekelilingnya, hidup kita semua di tangan Allah. Kita hanya manusia yang merancang, Allah juga telah merancang hidup kita tetapi perancangan Dia lebih baik daripada kita. Barangkali kita menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untuk kita. Barangkali kita membenci sesuatu padahal itulah yang terbaik untuk kita. Dan Allah jua lah yang Maha Mengetahui. Takdir hidup kita telah Allah aturkan walaupun ada beberapa perkara kita mampu ubahnya dengan berdoa kepadaNya kerana Allah itu Maha Kuasa. Walaupun Dia telah tetapkan segalanya untuk kita, tapi Dia juga boleh mengubah apa yang Dia rasa mahu. Semua adalah kuasaNya. Sebab itu kita sentiasa diminta untuk terus-terusan berdoa.

Hingga satu saat, manusia hanya mahukan pengertian dan sokongan setiap kali dia jatuh dan kecundang, bukan tohmahan dan kata-kata negatif. Manusia mana yang inginkan kegagalan dalam kehidupannya, manusia mana yang inginkan kekecewaan singgah dalam dirinya. Tetapi semua itu tetap datang dalam kehidupan manusia tanda ujian daripadaNya. Kenapa tidak semuanya percaya di setiap apa yang berlaku ada hikmahnya? Kenapa tidak semuanya mengerti dan menerima takdir sebagaimana manusia lain reda dan ikhlas dengan apa yang menimpanya? Untuk yang terakhirnya, bukan 'kenapa' yang dicari, tetapi 'bagaimana' kita semua menerima sesuatu yang bernama takdir Ilahi kerana itu menuntut keikhlasan kita yang membawa kita menuju syurgaNya. Wallahu'alam~

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...