Together we are...

Monday, December 24, 2012

Butterfly, terbanglah tinggi!

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG..


Hari raya ke-4. Masa tu aku on my way ke Kelantan. Di Kuantan, aku dapat sms daripada dia.

"Nani, mak aku tenat..50-50..minta kawan2 doakan ea."

Aku tersentak. Dalam kereta itu juga aku mengalirkan air mata. Tapi masih mampu ku sorok daripada ma, abah dan dua adik perempuanku yang ada sekali dalam kereta. Ku sapu air mata perlahan. Sms dibalas. Pada kawan-kawan yang mengenali dia, aku maklumkan perkhabaran itu. Sungguh, aku dapat rasai jiwa aku bergetar hebat waktu itu. Dia seorang kawan yang rapat sejak belajar bersama-sama di matrikulasi dahulu. Hampir 4 tahun aku tidak jumpa dia. Tapi masih kekal berhubung. Antara kami berlapan, aku lebih rapat dengan dia. Tak putus-putus doa ku kirimkan buat makcik. To be honest, aku tidak pernah jumpa makcik.

Perjalanan aku ke Kelantan mengambil masa selama 7 jam. Waktu itu dia masih di hospital. Hospital Besut, Terengganu. Katanya lagi, doktor kata mak dia dah takda harapan nak hidup. Allahuakbar! Sungguh, aku terbayangkan keadaan dia ketika ini. Hampir sebulan lamanya dia menemani maknya yang sakit. Di hospital dan di rumah. Aku maklumkan pada ma. Ku kira mahu mengajak abang aku yang dah ada di Kelantan untuk melawatnya di hospital pada esoknya. Dan sampainya aku kat rumah sepupu di Pasir Puteh, tentang dia ku lupakan seketika. Makcik aku, kakak kepada abah sedang sakit. Dan sepupu-sepupu ku yang lain ada di rumah. Ya Allah! Kuatkan hati aku.

Around 11.41pm.. Sms daripada dia masuk lagi.

"mak aku da takda Nani."

Innalillah. Dari Dia kita datang, kepada Dia kita pulang.

Aku terdiam seketika. Ya, aku tak pernah merasai kehilangan ahli keluarga yang terdekat. Ma dan abah masih hidup. Syukur kepada Allah. Hanya berbekalkan pembacaan dan pengalaman daripada mereka yang pernah kehilangan insan tersayang, aku mengalirkan kata-kata semangat buatnya. Pada kawan-kawan lain aku khabarkan juga berita itu. Pada ma juga sudah tentu. Sugul rasanya keadaan aku ketika itu. Aku terfikir, kenapa aku tidak terus ke hospital yang memang dalam perjalanan aku itu? Tapi aku tahu, abah juga mahu cepat sampai kerana makcik yang sakit. Allah! Aku tidak mampu untuk melawat dia secepat mungkin.

Esoknya, seawal pagi lagi aku ke rumah dia di Jerteh, Terengganu. Tak juga awal sebab aku tak boleh drive sendiri. Dengan abang dan dua adikku, aku ke sana. Sampai di sana, ku lihat suasana yang suram. Bayang dia tak juga ku nampak. Ya, aku tahu waktu itu jenazah ibunya tengah dimandikan. Kalau boleh aku mahu lama di situ, tapi memandangkan dalam mode raya, abang aku mahu ke tempat lain, hanya setengah jam aku di situ ku kira. Sempat berbual dengan kakak ipar dia. Sempat juga bersalaman dan berbual dengan dia. Masih aku ingat senyuman dia waktu itu. Senyuman yang menyembunyikan kedukaan dan kesedihan. Aku tahu itu senyuman palsu buat aku. Dan dengan senyuman palsu itu aku bawa balik ke Pahang. Senyuman itu juga aku harap dia sentiasa kuat dan tabah.

Hari ini, dia muncul di twitter berbual seketika dengan aku. Aku tak tahu bagaimana mahu membalas reaksi kepadanya. Melihat status dia di facebook, hati aku dipagut rasa sedih. Aku cuba memberikan dia semangat untuk teruskan kehidupan ini tanpa seorang ibu. Tapi aku tahu, aku membohongi diri sendiri untuk pura-pura tabah. Sebab aku sendiri tak tahu bagaimana keadaan aku jika ma dan abah tinggalkan aku buat selamanya. Sungguh, aku tak mahu fikirkan hal itu. Air mata ini mudah saja mengalir. Cukuplah apa yang aku rasakan sewaktu abah masuk hospital dahulu dan aku tidak berpeluang untuk balik. Keadaan itu sahaja sudah cukup membuatkan aku rasa sebak di dada. Dan waktu itu, mujur kawan-kawan dan dia ada di sisi memberikan kata-kata semangat.

Hari ini juga, aku tergerak untuk bertanyakan tentang kesihatan ayah kawan sebilik semester lepas yang juga coursemate aku. Ya Allah! Bagaikan jantung aku kali kedua berhenti berdegup untuk Syawal kali ini. Ayah dia koma. Beberapa hari lepas, dia sms bagitahu ayahnya masuk hospital. Waktu itu, bagaikan mengerti keadaan dia, aku tidak bertanyakan dengan lebih lanjut. Hanya doa ku kirimkan dari kejauhan. Hari ini, bila dia bagitahu ayahnya koma, mulut aku bagaikan terkunci. Bohong kalau aku tak nangis. Bohong.

*****************
Ni entri lama yang aku tulis. 5 September. Tak mampu untuk teruskan ayat seterusnya. Waktu ni abah pun tengah sakit. Makan pun tak lalu. Walaupun tak teruk, aku memang sedih, ditambah lagi dengan keadaan kawan-kawan aku. Apatah lagi, aku dah nak pulang ke Batu Pahat. Dengan kata-kata semangat daripada Wahyda masa tu, aku kuatkan semangat. Berharap semuanya baik-baik sahaja.

Hari ini, kawan-kawan aku sudah mampu ketawa. Mereka sudah kembali riang seperti dahulu. Namun begitu, aku yakin kalian mengerti, kadang-kala orang yang tersenyum bahagia bukanlah seorang yang gembira pada hakikatnya. Dia cuma mahu menutup rasa sedih di jiwanya. Allah Maha Mengetahui.

Aku tak tahu bagaimana keadaan aku jika aku kehilangan lelaki yang aku paling sayang dalam dunia ni. Sungguh. Aku tidak dapat bayangkan dan tidak mahu bayangkan. Cukuplah aku merasai pedihnya bila setiap kali kawan baik di sini memberitahu ayahnya pengsan dan masuk hospital. Aku automatik teringat abah di rumah. Kawan hanya sejam lebih untuk sampai JB, sedangkan aku nak balik Pahang perlukan masa yang agak lama. Ya Allah, jagakan abah untukku. Aku tidak mahu jadi anak derhaka yang tidak mampu menziarahinya ketika dia sakit dan tidak mampu menjaganya.

Dan bila fikir tentang keadaan diri sendiri, bagaimana agaknya keadaan insan-insan di sekeliling aku kelak? Apa mungkin mereka dapat mengikhlaskan pemergian aku andai masa aku tidak lama di dunia ini? Sungguh, mati itu tidak mengenal masa dan usia. Aku harap sebelum aku pergi meninggalkan dunia ini, aku dapat membalas jasa ma dan abah serta bagi kebahagiaan buat mereka yang telah mewarnai hidup aku dengan tawa dan senyuman selama ini.
*****************

Bismillah.
Buat kawan-kawan yang ku sayangi kerana Allah,
dalam menerima takdir Allah bukan mudah sebenarnya.
Tapi percayalah, jika iman kita berada di puncak tertinggi,
maka kita akan redha dengan takdir Ilahi.
Aku bercakap untuk mengingatkan diri aku terlebih dahulu.
Dugaan Allah itu muncul pelbagai cara.
Saat diri diuji, bersabarlah.
Tabah hadapinya dengan senyuman.
Kita tidak tahu apa yang bakal menanti kita.
Allah menguji kita tanda kasihnya pada kita.
Bersyukurlah tika diberi ujian kerana itu tandanya Allah sayangkan kita.
Dia rindu untuk mendengar kita merintih kepadaNya.
Dia rindu untuk mendengar kita berdoa kepadaNya.
Jika bukan Dia, pada siapa lagi kita bergantung harap?
Duhai kawan,
aku tidak cakap kosong tanpa mengerti sakitnya ujian Allah itu.
Tapi aku juga nak kau tahu, manisnya ujian itu bila kau redha.
Sukar hanya pada permulaan.
Sakit hanya sementara.
Ketahuilah, jalan ke syurga itu mahal nilainya.
Untuk gapai syurga ada harga yang perlu dibayar.
Kalimah لا اله الا الله محمد رسول الله itu buktinya.
Aku bercakap kerana aku sedang redha dengan takdirNya.
Aku bercakap kerana aku sedang belajar ikhlas untuk terima mehnahNya.
Aku bercakap kerana aku tengah mendidik hati supaya tetap tabah dalam melalui liku-liku kehidupan yang sememangnya banyak ujian menanti.
Dan butterfly, terbanglah tinggi!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...