Together we are...

Sunday, May 12, 2013

MENGINTAI CINTA KHALIFAH.

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG..

Laila,

Jangan sesekali kau memetik bintang cinta dari langit kegelapan, lalu kau sematkan ia di dalam hatimu yang majhul hakikat. Kerana ia akan membawamu ke lubang zulmat. Jangan sesekali kau menyeru kata rindu tanpa kefahaman dan melagukan mantera kasih tanpa tujuan, kerana ia akan menjadi taufan yang meruntuhkan tugu keperibadian yang sedia berdiri di atas tapak pekertimu. Cinta itu seperti titisan jernih air hujan yang perlu ditadah dalam bekas suci, ditatap atas piring agama hingga memahamkan dirimu hakikat tuhan. Ia perlu difahami dan diselami dengan satu erti seertinya.

Laila,

Cinta itu…satu misteri yang hanya mampu dibiaskan oleh nur ilahi. Hanya yang mengerti amanah khalifatullah akan mampu mengutip nur ilahi dan menyelamatkan manusia dari kebutaan cinta nafsu. Dan seharusnya setiap lelaki, menanai pekerti Al-Khalifah dan menatang cinta yang terkelarai dalam wadah kebenaran. Barulah nur ilahi akan menerangi setiap cebisan rindu, setiap keluhan resah, setiap sekelumit kasih yang mengguyur dalam jiwa manusia. Mudah-mudahan segala sengsara duniawi yang terhasil dari mimpi-mimpi manusiawi akan mampu diusir jauh dari realiti.

Laila,

Jika engkau benar-benar mahu bahagia, intailah cinta yang tersembunyi di dalam kamar Al-Khalifah. Jika bisa kau rebut ia dengan kekuatanmu, capailah semahunya. Mudah-mudahan resah yang kau tanggung, pilu yang kau usung, pedih yang menghurung, akan sirna dari lubuk kalbumu. Lalu kau perolehi damai abadi.

MENGINTAI CINTA KHALIFAH
A. Ubaidillah bin Alias

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...