Together we are...

Thursday, October 10, 2013

Warkah Cinta Berbau Syurga

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG..

 Assalamualaikum

Wardah...

Cairo kurasakan sepi tanpa surat-suratmu. Bunyi sahrawi yang mengepuk debu kering itu bagai membawa mersik suaramu. Tetapi, aku tetap sedar bahawa kau tidak pernah berada di sisi. Semenjak dahulu, kini dan selamanya. Hanya aku bermain ilusi sendiri. Justeru, aku datang dengan wajah seorang kawan. Tidak minta dikasihi dan tidak minta dibenci. Hadirku untuk membantu melerai kekusutan. Aku yang memulakan salam pertemuan, selayaknya aku jua yang melafazkan salam perpisahan.

Ingatkah sewaktu dirimu meletakkan harapan yang tinggi pada hubungan ini. Waktu itu betapa kita yakin bahawa hubungan ini akan utuh dan kukuh. Kita yakin susah senang mampu diharung dengan sabar. Masa itu kita masih muda bukan, kita penuh dengan semangat serta azam. Kita kadang-kadang lupa dengan tribulasi, melihat cabaran dengan mata yang kurang terbuka. Biar jauh atau dekat, biar senang atau susah, kita tetap mahu pastikan agar hubungan ini berjaya.

Dulu pernah kuungkap "Jangan terbang tinggi, kalau jatuh kan parah". Lalu Wardah jawab "kalau kita tak cuba terbang tinggi, sampai bila pun kita takut untuk mencuba. Lagipun kita tetap mendapat nikmat berusaha dan mencuba". Kalam itu banyak memberi kesan kepada diriku.

Aku terasing jauh dari bumi sendiri, terbang melintasi benua dan akhirnya terdampar di tepi pesisir mediteranean. Apabila diimbau sejarah kita, terasa seolah suatu kisah yang kita karang bersama adunan rasa jujur dan tulus. Walaupun hubungan kita tidak disuburkan dengan pertemuan, kesefahaman dan kepercayaan telah menyiram benih-benih kemesraan. Kita jadi pasangan yang toleransi dan saling cuba memahami. Ah, seolah sebuah kisah mitos yang tidak wujud, namun ia telah berlaku dalam hidup kita.

Hari ini, terbukti tiada jodoh antara kita dan mungkin sudah sampai masanya kita mencari haluan masing-masing. Ke mana sahaja kita terbang, semampunya kita tuju dengan sepenuh kekuatan dan kematangan. Selagi kita fahami realiti dan tidak terikat dengan emosi. Pasti konklusinya mampu kita capai dengan baik. Antara kita, mungkin ada peristiwa yang menjadi kenangan abadi. Namun tidak bermaksud kita mengagungkannya. Jadikan ia sekadar memori untuk diri sendiri. Sekadar nostalgia untuk diimbau. Biarlah ia menjadi khazanah yang berharga, atau mungkin sahaja hilang dipupus masa. Tuhan yang menentukan, bukan kita.

Benarlah, cinta tidak mampu memenangkan segala. Cinta tidak membawa segala kesempurnaan hadir ke sisi. Tetapi, ia mengajar kita menerima sesuatu seadanya. Cinta juga bukan semestinya bersama. Cinta itu untuk memastikan orang yang dicintai bahagia. Terima kasih kerana pernah menerima diri ini sebagai insan istimewa. Terima kasih…

Sekian.

Amir,
Cairo, Republic Of Egypt.

Warkah Cinta Berbau Syurga
Oleh A. Ubaidillah Alias

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...