Together we are...

Friday, October 03, 2014

Salam AidilAdha..

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG..

Hidup ini satu perjalanan yang indah dan bermakna.

Patut ke kita korbankan kebahagiaan sendiri untuk melihat orang lain bahagia? Banyak kali aku tanya soalan tu pada diri sendiri. Sehinggalah aku dengar tazkirah daripada ustaz sempena AidilAdha pagi tadi di office. Mengambil ibrah dari kisah nabi Allah- Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Tentang pengorbanan.

Korban.

Tanda ketaatan mereka pada Allah.

Ibrah pertama : Iman dan akidah yang mantap dapat mengikuti perintah Allah.

Iman yang teguh, akidah yang mantap. Manusia tanpa iman dan akidah tidak akan mampu menunaikan perintah Allah. Manusia yang punya iman dan akidah dapat mengerjakan perintah Allah dengan mudah dan tanpa banyak alasan serta persoalan. Manakala, manusia yang lemah iman dan akidah akan sentiasa mempersoalkan setiap perkara dan suruhan Allah.

Ibrah kedua : Nabi Ibrahim sentiasa menegur kemungkaran ayahnya & kaumnya dan menasihati untuk menunaikan perintah Allah.

Nabi Ibrahim menegur melalui perbuatan. Baginda menghancurkan patung-patung berhala. Bila baginda ditanya oleh kaumnya, baginda suruh mereka bertanya pada patung berhala yang besar. Di situlah kebijaksanaan Nabi Ibrahim. Dakwah memang tugas ustaz/ustazah, jika itu pandangan tipikal segelintir manusia. Tetapi tanggungjawab adalah setiap manusia. Setiap daripada kita ini perlu mengajak manusia dengan hikmah dan bijaksana. Caranya adalah melalui Al-Quran. Kita digalakkan untuk membaca Al-Quran dan mengajak orang lain memahami, menghayati dan beramal dengan Al-Quran.

Ibrah ketiga : Nabi Ibrahim dalam dakwahnya menggunakah mujadalah (berdialog)

Nabi Ibrahim sentiasa memberikan hujah dalam berkata tentang kebenaran. Baginda menggunakan akal fikiran bila berdebat dengan kaumnya.

Ibrah keempat : Nabi Ibrahim berbudi pekerti mulia bila berhadapan dengan ayahnya yang berlainan kepercayaan.

Nabi Ibrahim masih tetap menghormati ayahnya dengan menggunakan bahasa yang baik dalam menegur ayahnya supaya tinggalkan sifat syirik.

Ibrah kelima : Nabi Ibrahim seorang yang pemurah dan cintakan tetamu.

Sunat menghormati tetamu kerana tetamu perlu dimuliakan dan mereka pembawa rezeki kita. Kita juga digalakkan untuk bersenda gurau dengan tetamu untuk menjaga hubungan sesama manusia. Memuliakan tetamu merupakan adab dalam islam yang sangat dituntut.

Ibrah keenam : Nabi Ibrahim hauskan ilmu pengetahuan dan cintakan kebenaran.

Baginda suka mendalami ilmu dan cintakan pengetahuan. Baginda tak pernah merasa puas dengan ilmu. Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap mukmin. Hati kita ini kena sentiasa cintakan ilmu. Allah mengangkat darjat orang yang berilmu. Walaubagaimanapun, tiada gunanya jika ilmu banyak tetapi tidak beramal dengannnya. Ilmu yang tidak diamalkan umpama pokok yang tidak berbuah. Ilmu mesti disertakan dengan amal.

Ikut peribadi Rasulullah SAW. Apa dia peribadi Rasulullah?
Peribadi Rasulullah adalah Al-Quran.
Beramal dengan akhlak Rasulullah bermakna kita beramal dengan Al-Quran kerana Al-Quran adalah manhaj kehidupan. Dari sekecil-kecil perkara hingga ke urusan yang besar.


Allah memahami perjalanan hati nurani manusia.
Kerana Dia yang mencipta kita.

Patut ke kita korbankan kebahagiaan sendiri untuk melihat orang lain bahagia?

Ikhlaslah hati dalam merelakan segala kelukaan dan kesakitan.
Bahagia kita, Allah yang beri. Mungkin dengan korbankan kebahagiaan sendiri, Allah gantikan kebahagiaan lain yang lebih membahagiakan.

Di bumi Palestin, telah banyak menjadi saksi korban kerana Allah.
Tinggal kita mahu ambil sebagai pengajaran atau tidak.

Walaupun kita tidak merasai kebahagiaan itu sendiri. 
Tetapi kita akan menjadi sebab orang lain bahagia.
Bukankah itu kebahagiaan yang sejati?

Tidak diciptakan sesuatu itu dengan sia-sia melainkan ada hikmah yang Allah akan tunjukkan juga akhirnya.

“Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu. InsyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar.” [As-Saffat, ayat 102]

Nabi Ismail sendiri sanggup mengorbankan nyawanya.
Kita ini pula?
Manakan sama kita dengan Nabi Allah, tetapi tidak mustahil kita pinjam kekuatan dan keberanian mereka untuk menempuh kehidupan di dunia ini.

Hidup kita ini adalah untuk mencari redha Ilahi.
Jika paksinya pada Rabbul Alamin, maka bersabarlah.
Sabar ganjarannnya adalah syurga Allah.

Selamat menghayati erti korban.
Selamat menyambut Hari Raya AidilAdha.
Selamat mencari redha Ilahi.
Semoga berbahagia bersama insan-insan terchenta.


Wallahua’lam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...